Friday, May 8, 2009

Dulu Aku Fikir ...

Hari ini genap setahun arwah emak pulang ke Rahmatullah. Hari ini juga adalah hari lahir arwah bapa. Bapaku meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Emak pula akibat kanser. Ketika bapa di panggil mengadap Ilahi, kami tujuh beradik masih belajar. Abang yang sulung berada di UK , adik yang bongsu baru meninjak usia 8 tahun. Apabila giliran emak tiba, aku telah punya 15 orang anak saudara. Adikku yang bongsu juga telah tamat pengajian. Namun Allah tidak mengizinkan emak melihat dia berumahtangga walau hanya 3 hari sahaja lagi dia bakal diijabkabulkan.

Dulu, ketika aku menerima berita bahawa bapa telah tiada aku fikir jika orang yang kita sayang pergi kerana sakit, kita lebih bersedia kerana kita sudah menjangka. Ketika itu juga aku fikir jika ibu atau bapa pergi buat selama-lamanya ketika anak-anak telah dewasa, tentu kita tidak begitu terasa akan kehilangan mereka.

Tapi ternyata apa yang aku fikirkan dulu salah. Kerana hakikatnya mereka adalah ibu bapa kita. Kesedihannya tetap serupa. Cuma aku sangat-sangat bersyukur kerana doaku sekian lama selepas bapa pergi dimakbulkanNya. Aku orang terakhir berada di sisi ibu tercinta ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Aku bersama memandikan jenazahnya, mengkafankannya, mensolatkannya serta menghantarnya ke pusara... semua yang aku gagal lakukan untuk arwah bapa. Paling aku bersyukur, aku dilorongkan olehNya untuk melakukan sesuatu yang membolehkan aku membawa emak menunaikan umrah; ibadat yang sepatutnya emak lakukan 17 tahun lalu bersama arwah bapa. Malangnya 2 minggu sebelum mereka berangkat, bapa ditimpa kecelakaan jalan raya yang meragut nyawanya.

Sepatutnyalah Islam sangat memelihara hak-hak anak yatim. Sedangkan pada usia aku kini, aku masih merasa perlunya aku kepada kedua orang tua. Jika anda ada sedikit lebihan, gembirakanlah hati anak-anak kecil yang telah kehilangan ibu bapa ketika mereka masih terlalu memerlukan kasih sayang dan perhatian. Jika anda masih punya ibu dan bapa, gunakanlah kesempatan yang masih ada untuk membahagiakan mereka.

Buat semua ibu, Selamat Hari Ibu.

Buat arwah emak dan bapak, Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas kedua orang tuaku serta menempatkan mereka bersama para solihin. Amin. Al Fatihah.

No comments:

Post a Comment